Wednesday, March 30, 2011

Dia Seorang Lagenda




Umar al-Khattab atau gelarannya al-Farouk, si pemisah antara haq dan batil. Beliau terkenal dengan sifatnya yang berani dan gagah. Semasa peristiwa Hijrah, beliau pergi ke Kaabah dan mengumumkan bahawa beliau akan berhijrah ke Madinah. Selepas tawaf sebanyak 7 kali,beliau berkata : "Sesungguhnya Allah SWT tidak akan membinasakan wajah manusia di dunia ini, kecuali wajah puak-puak jahannam yang memusuhi agama Allah." Kata Umar lagi: "Barangsiapa yang sanggup menjadikan ibunya keseorangan disebabkan kematian anak, meletakkan anak-anak mereka menjadi yatim piatu lantaran kematian bapa, sanggup menjadikan isteri kesayangannya menjadi balu kerana kematian suami, marilah kita adu senjata di sebalik bukit ini." Berani bukan? Keseorangan di tengah-tengah kubu kuat Musyrikin Quraisy, dan beliau tahu bahawa, beliau boleh gugur di situ. Jikalaulah ditakdirkan kita berada dalam situasi Umar, adakah kita sanggup ke Bangunan PBB di New York,AS dan mencabar pemimpin dunia agar menghalang kita melaksanakan syariat islam di muka bumi. Beranikah kita?

Berbalik kepada Umar. Beliau juga terkenal dengan ketegasan. Semasa tamat Perang Badar al-Kubra, berlaku permasalahan pembahagian ghanimah dan tawanan perang. Rasulullah SAW berbincang dengan para sahabat. Umar memberi cadangan agar kesemua tawanan perang itu dibunuh dan ini kelihatan bahawa islam itu kejam,lalu Rasulullah SAW menerima cadangan Abu Bakar as-Siddiq, agar melepaskan tawanan. Akan tetapi, siapa menduga hasrat Allah SWT, Dia menerima cadangan Umar al-Khattab dan mengkritik Rasulullah SAW serta Abu Bakar. Rasulullah SAW bersabda,"Sekiranya turun azab Allah SWT, tiada siapa pun terselamat melainkan Abu Hafsun ini" rujuk Rasulullah SAW kepada Umar.


Telah ditakdirkan, Umar al-Khattab menjadi Khulafa' ar-Rasyiddin yang ke-3. Zaman beliau digelar Zaman Keemasan umat islam. Di bawah pemerintahannya, 2 tamadun dunia paling kuat dan lama berjaya ditundukkan yakni Rom Timur dan Parsi. Di zaman beliau juga misi Pembebasan Baitul Maqdis dilaksanakan. Pada hari Pembebasan Baitul Maqdis, Kota Suci bagi 3 buah agama samawi, islam, Kritian dan Yahudi, Panglima perang islam ketika itu, Abu Ubaidah al-Jarrah telah diminta paderi besar Baitul Maqdis agar orang pertama yang memasuki kota suci tersebut adalah seorang lelaki yang mempunyai ciri-ciri tertentu seperti dalam ramalan yang dipercayai penduduk Baitul Maqdis. Nyata ciri-ciri tersebut adalah Khalifah Umar al-Khattab bukannya Panglima Abu Ubaidah al-Jarrah.


Selepas menerima utusan dari Baitul Maqdis, Khalifah Umar al-Khattab dan pembantunya bersiap untuk bertolak. Khalifah Umar al-Khattab hanya mempunyai seekor keldai sebagai kenderaan rasmi khalifah. Khalifah Umar al-Khattab mencadangkan agar beliau dan pembantunya bergilir-gilir menunggang keldai tersebut menuju ke Baitul Maqdis! Nah, bayangkan kita bahawa seorang pemimpin agung,si penakluk Rom Timur dan Parsi, seorang pemimpin no.1 negara yang luasnya dari Mesir hingga ke ke perbatasan Benua India Kecil, mempunyai rakyat yang melebihi mana2 negara penduduk padat hari ini, sanggup bergilir-gilir menaiki keldai bahkan sanggup menjadi pemandu kepada pembantunya! Kita cuba bayangkan, Barrack Obama menjadi pemandu kepada pembantunya! kita cari dan bandingkan dengan pemimpin-pemimpin dunia hari ini, pemimpin-pemimpin umat islam hari ini. Ada yang dapat menandingi Khalifah Umar al-Khattab? Yang peribadinya, personalitinya, pemikirannya dan tawaduknya tiada siapa yang yang dapat saingi.

Ketika tiba di Baitul Maqdis, tiba giliran Khalifah Umar al-Khattab untuk menjadi pemandu pembantunya. Semua tentera islam dan rakyat Palestin rata-rata beragama Kristian, terkejut dan tergamam,seorang pemimpin 2/3 dunia bertindak serupa demikian. Bagi penduduk Baitul Maqdis, ramalan tentang seorang lelaki seperti Khalifah Umar al-Khattab, tahulah mereka, hari Baitul Maqdis jatuh telah tiba. Bagi tentera islam, mereka sungguh bertuah berkhidmat di bawah pemimpin yang agung tersebut. Hampir 4 dekad seterusnya Baitul Maqdis dimiliki umat islam sebelum dijajah kembali Tentera Salibi.



Wahai, sahabat sekalian, cuba kita renung, dimanakah Umar al-Khattab yang seterusnya?
Bilakah Pembebasan Baitul Maqdis yang ke-3 bakal berlaku? Tidak mahukah kita bersama-sama menjadi Pembebasan Baitul Maqdis yang seterusnya? Jika tidak mampu menjadi seperti Umar, jadilah seperti tenteranya, yang berkhimat kepada pemimpin agung!

No comments:

Post a Comment